Sunday, August 31, 2008

ada apa pada nama

Hehe..entry ini dicilok dari adinda saya Wan Yusof dari blog die..ngeee

Indahnya masyarakat Nusantara ini dek kerana kepelbagaian namanya. Ada yang mulanya dengan Nik, Wan, Long, Raden, Syarif, Sharifah, Syed dan macam-macam lagi. Rasanya yang paling banyak adalah nama yang bermula dengan Mohd.

Selawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w.

Namun, pernahkah kita terfikir dari manakah datangnya awalan-awalan(predikat) nama tersebut? Adakah ianya nama keluarga semata-mata? Atau ada rahsia disebaliknya?

Budaya masyarakat kita hari ini begitu kurang menekankan salasilah keturunan. Kita lupa akan asal usul kita. Kita buta sejarah!

Jangan diberitahu yang masyarakat barat tidak mengendahkan salasilah mereka. Tidak akan bergelar Presiden George W. Bush andai kata salasilahnya tidak diketahui!

Syed dan Sharifah

Kalo ayah dia Syed, maka anak pompuan die jadi Sharifah…kalo mak die Sharifah, anak laki die x dapat Syed” terang kawanku.

Benarkah begitu?

Percaya atau tidak, penentuan nama nasab keturunan ini ada ditentukan mengikut hukum fekah. Serius!

Ayah (Syed) maka anak = Syed dan Sharifah

Ibu (Sharifah) maka anak = Terputus nasab, anak tidak dinamakan dengan Syed

Pendapat di atas diterima mengikut Mazhab Hanafi. Mazhab Hanafi mengatakan “terputuslah nasab keluarga Rasulullah s.a.w pada anak-anak bagi wanita ahlul-bait hasil dari perkahwinan dengan orang biasa”

Tetapi jika pendapat Mazhab Imam Ahmad bin Hanbal dan Mazhab Imam Syafie menjadi pegangan, bermakna tidak terputuslah nasabnya pada anak-anak tersebut. Maka tiada salah untuk ibu mereka menamakan anak-anak mereka dengan nama Syed dan Sharifah. Hakikat ini perlu diketahui terutamanya dikalangan masyarakat Nusantara yang berpegang kepada Mazhab Imam Syafie.

Baru-baru ini PPIMI telah menganjurkan Deen Intensive Dublin. DID kali ini menampilkan penceramah dari susur galur keturunan Rasulullah s.a.w, iaitu Habib Ali Zainal Abidin.

Aku tertanya-tanya, apakah Habib ini gelaran khusus untuk keturunan Rasulullah s.a.w? Jika benar, apa beza Habib dengan Syed?

Perkataan As-Sayyid(Syed) ini membawa maksud “ketua” atau “pemimpin”.

Dalam Sahih Bukhari, Rasulullah s.a.w pernah bersabda mengenai Al-Hassan:

“Sungguhlah bahawa puteraku ini (sambil merujuk kepada Hassan r.a) adalah Sayyid. Mudah-mudahan melaluinya Allah akan mendamaikan (pertikaian) antara dua golongan besar dari kaum Muslimin.”

Sayyid juga dari perspektif yang lain membawa maksud “Ketua Suku” atau orang bangsawan. Istilah “Syarif“, juga maksudnya sama dengan istilah Sayyid.

Menurut kajian Hj Muzaffar dan Tun Suzana, gelaran Syarif ini dipakai untuk Bani Hasyim di awal permulaan Islam sebagai nama sebutan atau predikat bagi mereka. Orang pertama dari Bani Hasyim yang memakai gelaran “Syarif” ialah Syarif Ar-Radhiy dan saudaranya Al-Murtadho.

Di Hijaz, sebutan “Syarif” tidak digunakan kecuali untuk para penguasa Mekah dari keturunan Al-Hassan. Hasil kajian ini juga mendapati, menurut adat dan kebiasaan umat Islam, predikat “Sayyid” diberikan kepada ahlul-bait dari keturunan Al-Hussein sementara “Syarif” dari keturunan Al-Hassan. Keturunan Sayyid dari Hadhramaut pula dikenali dengan gelaran Habib, yang bererti orang yang dikasihi.

Ahlul Bait di Asia Tenggara

Saidina Hussein telah mengahwini puteri Raja Parsi yang bernama Shah Zinan binti Yazdagrid. Perkahwinan ini melahirkan seorang putera bernama, Ali Zainal Abidin. Ali Zainal Abidin merupakan moyang bagi semua keturunan Al-Hussein di dunia ini.

Di Kepulauan Jawa, cucu-cicit dari salah satu Wali Songo yang bernama Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati), tidak lagi memakai predikat Sayyid. Tetapi diganti dengan Raden. Ada juga yang menghapuskan terus predikat ini apabila sistem pemerintahan beraja dihapuskan selepas kedatangan Belanda. Mungkin sebagai satu taktik untuk mengelakkan dikesan oleh Belanda yang terkenal dengan sikap rakus dan kejam!

Di Malaysia pula, lahirlah prediket Nik, Long, dan Wan. Prediket ini berasal dari cucu cicit ahlul bait Rasulullah s.a.w yang pernah menjadi seorang bangsawan Kelantan lama (sebahagian dari empayar Majapahit-boleh rujuk artikel Catatan I-Ching). Keturunan Rasulullah yang dimaksudkan adalah Ali Nurul Alam. Rujuk carta alir di bawah:

Keturunan Syed Hussin Jamadul-Kubra

Keturunan Syed Hussin Jamadul-Kubra

Lampiran:

Sayyid Hussin Jamadul-Kubra (Sayyid Ratna-wangsa) (tiba Di Kelantan C.1349)

1 Maulana Malik Ibrahim (Meninggal Dunia Di Jawa Timur Tahun 1419, Salah Seorang Dari Wali Songo)

2 Maulana Ibrahim (Ibrahim Asmara)

2.1 Maulana Ishak

2.1.1 Muhammad Ainul-Yakin (Sunan Giri; Salah Seorang Dari Wali Songo)

2.2 Maulana Rahmatullah (Sunan Ampel; Salah Seorang Dari Wali Songo)

3 Ali Nurul Alam (Pateh Aria Gajah Mada; Perdana Menteri Majapahit Di Kelantan C.1432-c.1467)

3.1 Alimuddin (Wan Demali) (Pateh Karmawijaya) (Laksamana Bentan) (Pateh Majapahit) Nenek Moyang Sebahagian Dari “Kaum Wan” Di Patani, Kelantan, Terengganu Dll.

3.2 Abu Abdullah (Wan Bo) (Sultan Abu Abdullah) (Bo Tri Tri) Raja Champa (c.1471-c.1478)

3.2.1 Ahmad Fatahillah (Pelatehan) (Syarif Hidayatullah; Salah Seorang Dari Wali Songo)

3.2.2 Abul-Muzaffar Waliyullah (Wan Abul-Muzaffar) Yang Mula-mula Memberikan Gelaran “Nik” Kepada Keturunannya

Nik Jamaluddin (Datu Kelantan Bagi Pihak Kerajaan Pusat Pattani)

Nik Mustafa (Ong Tpouo) (Agong Ronan) (Po Rome) (Sultan Abdul Hamid Syah) Raja Sri Sarwasadesa. Raja Champa

3.3 Hussin (Wan Hussin) (Sri Amar-wangsa) (Pateh Majapahit) (Tuk Masjid) Nenek Moyang Sebahagian Dari “Kaum Wan” Di Patani, Kelantan, Terengganu Dll

4 Syarif Muhammad Kebungsuan (Prabhu Anom/Udaya Ningrat/Bhra Wijaya) Nenek Moyang Raja-raja Demak, Pajang Dan Mataram Di Pulau Jawa

Harus diingat, keturunan ini bukanlah sesuatu untuk dibanggakan, malah pada pendapat aku, ia merupakan satu tanggungjawab kepada individu yang berkenaan untuk menjaga darah keturunan Rasulullah s.a.w dengan sebaik-baiknya. Akhlak Rasulullah wajar menjadi ikutan dan panduan.

Untuk membuktikan yang anda adalah dari susur galur ini, maka aku amat menggalakkan anda cuba menjejak salasilah keturunan masing-masing. Setakat gelaran Wan sahaja tidak cukup untuk membuktikan yang anda dari Pateh Aria Gajah Mada.

Aku?

Terima kasih di atas usaha pakcik aku yang bersusah payah mencari asal usul keturunan kami. Pun begitu, keturunan keluarga aku tidak dapat disambungkan dengan Pateh Aria Gajah Mada. Sanad kami terputus setakat Long Ahmad Dakin dan Wan Patan. Aku adalah generasi keenam dari keluarga ini:

Keturunan Long Ahmad Dakin dan Wan Patan

Keturunan Long Ahmad Dakin dan Wan Patan

Rujukan:

1. Ahlul-Bait (Keluarga) Rasulullah s.a.w dan Raja-Raja Melayu, Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad, (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman.

2. Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah, Abdullah bin Mohamed (Nakula)

3. Salasilah Long Ahmad Dakin dan Wan Patan diusahakan oleh Wan Azman Wan Ahmad, didapati daripada Haji Alauddin b. Ishak.

1 comment:

Rizza said...

salam...
sungguh bagus kita masih mencari asal usul keturunan ..agar tidak hilang atau dilupai oleh generasi akan dtg.. insya'allah

saya juga sedang mencari dan mengumpulkan maklumat seperti berikut dari sumber2 yg dipercayai (org2 tua yg masih hidup lagi)..